Selamat Berkarya AKTOR Malaysia!

Aktor Malaysia lahir dari group yahoo AKTOR yang kini sudah mempunyai ahli seramai lebih empat ratus (400) orang. Semua karya ahli akan dimuatkan di sini! Emailkan karya anda di sini atau melalui laman AKTOR http://groups.yahoo.com/group/aktor .Selamat mendaftar sebagai rakan AKTOR dan selamat berkarya!

Wednesday, May 31, 2006

Cerpen: Nafsu Bertemu Cinta


KARYA: LISA

“TERIMA kasih, saudara. Saya balik dulu.”Gadis manis bertudung bulat dan labuh itu berlalu meninggalkan halaman rumah dengan berjalan kaki.Nampaknya selama ini Nafsu tipu aku, desis Iman di dalam hati.Iman kembali ke biliknya. Namun beberapa ketika kemudian dia terdengar bunyi kereta masuk ke halaman. Dia keluar dari biliknya untuk melihat siapa yang datang.“Kau dari mana Nafsu?”Walaupun Iman sudah tahu apa jawapan Nafsu, sengaja dia menyoal begitu. Dia sudah tidak tahu perkataan apa untuk dikeluarkan bagi menyapa rakan serumahnya itu.“Aku biasalah, Iman. Dari pub ke disko lepas tu ke hotel. Hujung minggu sama saja siang atau malam.”Nafsu menghempaskan badannya yang sasa ke atas sofa di ruang tamu sempit itu.“Kau tak nampak seseorang di hentian bas depan sana?”Wajah Nafsu berkerut mendengar pertanyaan Iman. Keningnya yang hitam dan lebat hampir bercantum pangkalnya.“Manalah aku nak perhati tempat tu. Aku kan tengah memandu. Ngantuk pula tu.” jawab Nafsu kemudian menguap. “Siapa yang kau maksudkan?”Terlintas pula di hati Nafsu untuk mengetahui. Dia memandang Iman yang baru sahaja melabuhkan punggung di atas sofa yang berasingan..“Cinta, katanya rakan sepermainan kau dari kampung.”Nafsu yang sedang menguraikan rambutnya terkejut mendengar nama Cinta. Rambut yang tadinya diikat kemas, dibiarkan lepas bebas. Rambut lurus mencecah tengah belakang menari-nari tidak tentu arah dikecaikan kipas siling yang sedang berputar.“Macam mana dia tau aku tinggal di sini?”Iman menggeleng kepala. Pada mulanya gadis itu menyebut nama seseorang yang dia tidak kenali.Apa yang menghairankan Nafsu, macam mana Iman kenal dia dan berani mengakui dia tinggal di situ. Cinta tidak tahu namanya di kota ini. vIman pula tidak tahu namanya di kampung. Pertenyaan demi pertanyaan yang bertandang menghilangkan kantuknya.Wajah Cinta bermain di matanya. Seorang gadis sunti muda tiga tahun darinya. Muka Cinta sering kelihatan comot. Kadang-kadang penuh dengan calar. Disembelih daun lalang ketika mengambil layang-layang yang terjatuh di dalam semak. Kadang-kadang dicakar kucing kesayangannya.Rambut Cinta kerinting kasar melepasi bahu sering tidak terurus. Ada ketika ditocang dua. Ada waktunya dibiarkan lepas. Mengerbang seperti hantu. Kaki dan tangan Cinta penuh berkudis. Dia menyenangi Cinta kerana Cinta seorang gadis yang aktif. Tidak betah duduk diam. Dia tahu semua itu lantaran rumah mereka bersebelahan.Macam mana agaknya Cinta sekarang? Adakah masih tidak terurus seperti dahulu? Hampir tiga belas tahun dia tidak nampak Cinta. Tentu Cinta sudah berkahwin. Kenapa Cinta datang ke kota ini? Adakah semata-mata untuk mencari dia? Nafsu memicit-micit dahi. Semakin banyak persoalan timbul dari benaknya.“Dia tunjuk gambar kau. Gambar tu aku pernah nampak masa mula-mula kita duduk serumah."Mendengar penjelasan Iman, terurai sudah satu persoalan. Namun masih banyak yang perlu dia cari jawapannya.Kalau Iman tidak terpandang gambar lamanya itu, tentu Iman tidak perasan. Cinta pula pasti kecewa kerana tidak berjaya mengesannya. Dia mesti mencari Cinta untuk menjawab setiap soalan yang dia cipta sendiri.“Kau nak ke mana?” Iman berkata setelah dia lihat Nafsu bangun dengan terburu-buru.Cepat-cepat Nafsu mengikat rambutnya dengan gelang getah yang ada di pergelangan tangan. Dia mencapai telefon bimbit dan kunci kereta di atas meja.“Nak cari Cinta.”Sebentar kemudian dia duduk semula. Di mana dia hendak mencari Cinta? Mustahil Cinta masih berada di hentian bas tidak jauh dari rumah sewa itu.Entah di dalam perut bas atau perut teksi mana Cinta berada ketika ini. Kenapa dia tidak dipertemukan dengan Cinta? Dia hanya terlewat beberapa minit sahaja. Dia bukan rindukan gadis itu. Tetapi dia yakin kedatangan gadis itu membawa perkara penting. Jika tidak mustahil Cinta sanggup mencarinya sebegitu jauh.“Kau ni pantang dengar ada perempuan cari kau, mulalah tak senang duduk.”Iman ketawa menyindir. Iman sendiri tidak mengerti mengapa dia boleh tinggal serumah dengan nafsu. Malah boleh menjadi begitu baik dan akrab dengan lelaki itu.“Alah, aku tau macam mana rupa budak Cinta tu. Sekali pandang pun aku sikit tak terpikat kepada dia. Budak comot dan keras macam jantan.”Sekali lagi Iman tersenyum. Sedikit tawanya kedengaran. Dia tidak membalas komen Nafsu tentang Cinta.Iman berjalan masuk ke dalam biliknya. Setelah mengambil sekeping kad, dia keluar semula mengadap Nafsu yang mula keletihan dan mengantuk. Begitulah keadaan Nafsu bila hari cuti. Pulang pagi dalam keadaan mengantuk dan letih. Waktu malam dia ligat dan lupa dunia.Bukan dia tidak pernah menasihati rakannya itu. Tetapi Nafsu tidak pernah mengendahkan nasihatnya. Tetap terus hidup mengikut kata hati. Malam-malam yang dilaluinya tidak ubah bagai memasuki syurga. Iman bersyukur kerana dia masih kuat. Tidak mudah terpengaruh dengan ajakan Nafsu.“Ni kad yang dia minta aku berikan kepada kau.”Dengan mata yang terbuka lebar dsan senyum meniti di bibir, Nafsu menyambut huluran kad itu. Dia memerhati kad yang tercetak nama, alamat tempat kerja, dan alamat rumah Cinta.“Aku tau tempat ni, aku nak pergi cari dia?”Nafsu bingkas bangun. Iman yang melihat tingkah Nafsu hanya mampu menggeleng kepala. Namun di hatinya timbul kebimbangan. Dia sudah nampak sendiri bagaimana rupa dan sikap gadis yang bernama Cinta itu.Boleh saya berjumpa dengan Cinta?”Amat mudah dan cepat untuk Nafsu mencari pangsapuri tempat Cinta menginap.“Saudara ni siapa?”Nafsu meneliti raut wajah gadis di hadapannya. Gadis itu tertunduk seolah-olah takut untuk menentang pandangan lelaki di hadapannya. Belum pernah dia menemui seorang gadis bertudung bulat dan labuh serta bertingkah sopan begitu.“Saya Muslimin, kawan Cinta? Awak rakan serumah Cinta?” bicara Nafsu.Nafsu rasa tersentuh hati melihat gadis di hadapannya. Di tengah kota serba mencabar masih ada gadis sesopan ini.“Muslimin atau Nafsu?”Kelu lidah Nafsu. Adakah yang berdiri di hadapannya ini Cinta? Cinta yang mengetahui namanya daripada Iman?“Boleh saya jumpa Cinta?”Nafsu rasa seperti dipermainkan oleh gadis itu. Sudahlah dirinya tidak dijemput masuk. Hanya berdiri terpacak di tengah-tengah pintu.“Nampaknya Abang Min memang dah tak kenal Cinta ya?”Mahu saja Nafsu memeluk Cinta yang berdiri di hadapannya. Seperti yang selalu dia lakukan kepada teman-teman wanitanya. Tetapi dia masih dapat kawal diri.“Mana nak kenal. Cinta dulu masih hingusan tapi sekarang kalau abang jumpa kat jalan, mungkin emmm...” luah Nafsu tanpa meneruskan kata-katanya. “Boleh abang masuk?Cinta cepat-cepat menggeleng. Dia dan kawannya yang menghuni di rumah itu mengenakan syarat tidak membenarkan lelaki asing masuk.“Kalau macam tu boleh Cinta ikut abang keluar?”“Cinta mengangguk walaupun ada rasa takut. Muslimin yang dikenalinya dahulu tidak begitu pandangan matanya. Namun dia cepat menyedari bahawa bersamanya bukan Muslimin lagi tetapi Nafsu.“Kita berbual saja di taman depan sana. Orang ramai kat situ.”Cinta menunjukkan ke arah taman di hadapan pangsapuri itu setelah mereka turun ke bawah.“Abang nak belanja Cinta minum atau makan. Sambil tu boleh berbual-bual dengan Cinta.”Dengan hati yang sedikit berdebar, Cinta menerima pelawaan Nafsu untuk naik keretanya.“Kenapa Cinta duduk di belakang. Duduklah sebelah abang.”Nafsu merenung aneh ke arah Cinta yang membuka pintu belakang kereta. Malah gadis itu selamba sahaja masuk dan duduk.“Seorang wanita dan lelaki yang boleh bernikah tidak baik duduk berdekatan atau berdua-duaan. Syaitan mencelah di tengah-tengah.”Lembut suara Cinta menyentuh gegendang telinga Nafsu. Namun Nafsu tidak mahu mengambil tahu itu semua. Dia hanya pentingkan dirinya sahaja selama ini.“Maafkan Cinta, kalau kata-kata Cinta menyentuh hati kecil abang. Kenapa abang dah lama tak balik kampung? Abang dah lupa Mak Cik Muslimah?” Begitu tulus kata-kata yang diucapkan Cinta.Wajah emaknya yang tinggal jauh di pedalaman tergambar di fikiran. vTerkenang kampung Barakah yang hening dan tidak pernah tercemar dengan anasir yang tidak sihat. Masyarakatnya tekun bekerja mencari rezeki dengan berbakti kepada tanah dan meredah sungai serta laut. Tiba waktu mendekati Tuhan, surau kampung Barakah penuh dengan lelaki dan wanita yang kecil mahupun yang dewasa.“Pulanglah abang. Mak Cik Muslimah sedang sakit tenat. Puas Cinta jejaki abang untuk menyampai hajat mak abang. Mak Cik Muslimah sudah lama maafkan abang kerana sedikit kesalahan tu. Begitu juga dengan keluarga Cinta.”Mendengar kata-kata Cinta, Nafsu rasa terpukul. Dia yang mengocak keheningan Kampung Barakah.Dia tidak suka dengan kehidupan Kampung Barakah. Kampung yang jauh ketinggalan. Dia mendapat pendidikan agama yang mencukupi tetapi dia terlalu mengikut kata hati. Dia mencuri telur ayam di rumah Cinta. Dengan menjual telur ayam, dia dapat keluar ke bandar untuk melihat persembahan artis yang membuat pertunjukkan.“Kau keluar dari rumah ni, Min! Kau telah menconteng arang ke muka mak. Mak tak pernah ajar kamu mencuri. Anak mak bukan seorang yang suka berfoya-foya. Bukan, Min.” Mak Cik Muslimah bercakap dengan suara yang kasar.Sejak hari itulah Nafsu datang ke kota. Membina kehidupan baru. Melenyapkan pegangan agama yang sekian waktu pernah bertunas di jiwanya.“Abang tak akan balik, Cinta. Cinta cuma menyedapkan hati abang dengan mengatakan mak sudah maafkan abang. Abang tak percaya.”Cinta mula gusar melihat Nafsu memandu kereta ke sebuah lorong yang sunyi.“Abang kata nak bawa Cinta pergi minum. Tapi sini mana ada kedai makan. Cinta takut. Abang nak bawa Cinta ke mana ni?”Tambah menggelisahkan Cinta apabila melihat renungan galak Nafsu melalui cermin pandang belakang. Malah sesekali Nafsu menoleh sambil tersenyum penuh makna."Eh, kenapa abang berhenti kat sini?”Cinta semakin cemas melihat tingkah Nafsu. Apatah lagi setelah Nafsu memberhentikan kereta di kawasan sunyi dan agak tersorok.“Abang tak sangka, kamu semakin cantik, Cinta. Gaya percakapan kamu yang lembut membuatkan hati abang tak senang, Cinta.”Nafsu melangkah dari tempat duduknya ke tempat Cinta duduk. Dia mencapai kain tudung Cinta. Lalu direntap. Tidak dihiraukan rayuan dan tangisan Cinta.“Buka pintu ni! Buka pintu ni, Nafsu! Kalau tak aku pecahkan cermin tingkap kereta kau!”Muncul Iman di situ. Dia menepuk-nepuk cermin tingkap sambil menjerit dengan suara yang kuat. Dia berbuat begitu sehingga Nafsu membuka pintu kereta.“Aku dah menjangka semua ni. Kau tetap tak akan menjadi Muslimin walaupun bertemu gadis setulus Cinta.”

Sunday, May 28, 2006

Puisi: Pulau Impian


Kau lihat cinta di kolam matanya
Bibir manis menutur janji
Dalam diam terisi
seribu iltizam di hati

Mentari menjenguk di balik awan
embun hampir menitis
lena cendera dikejutkan
mimpi indah jadi realiti

Kau tergetar pada yang sebentar
kau terjaga aku terjaga
ingat ingat ini kenyataan
ingat ingat ini bukan mimpi

Pulau indah di seberang
Dahulu sayu memandang
Walaupun laut belum lenang
Jambatan telah terbentang
Bahtera telah mengangkat sauh

Hanya menunggu masa ketika
Hanya menunggu dan terus menunggu
Sehingga tiba saatnya
Melayari laut lepas
Menguasai jambatan
menuju pulau impian


Sahariza Baharudin
11/09/2003
Kantin PTA

Tuesday, May 23, 2006

Cerpen: Buloh


Salam sejahtera buat moderator serta semua warga Aktor.
Terimalah sumbangan yang tak seberapa daripada saya.
Wassallam.


Oleh CTAkashah

Hari ini merupakan hari pertama sekolah dibuka semula, setelah
tamatnya musim cuti sekolah selama beberapa hari kerana menyambut hari
raya Aidil Fitri. Hari ini juga, Osman, seperti rakannya yang lain di
darjah 4A, agak keberatan untuk ke sekolah. Apa tidaknya, bagi Osman,
hari raya tahun ini merupakan antara yang paling meriah yang pernah
disambutnya.
Disamping menyambut hari raya bersama rakan sekolahnya, Osman bersama
keluarganya telah juga berpeluang mengambil kesempatan tempoh cuti
yang agak panjang tersebut untuk menziarahi sanak saudaranya yang jauh
dan dekat. Kemeriahan tersebut telah menyebabkan Osman lupa langsung
bahawa beliau ada satu tugas yang penting, yang perlu disiapkan dan
'diserahkan' pada cikgu Hanif pada hari pertama sekolah dibuka semula.
Cikgu Hanif adalah seorang cikgu yang paling ditakuti murid - murid di
sekolah Osman. Bukan sahaja cikgu Hanif sangat garang, tetapi denda
yang cikgu Hanif kenakan kepada murid - muridnya yang telah membuat
kesalahan dianggap sangat berat. Denda seperti berdiri di sudut bilik
darjah (menghadap sudut!) selama beberapa jam, berdiri di atas sebelah
kaki, tok - ketampi dan bermacam - macam jenis denda lagi. Yang
pastinya, denda - denda yang dikenakan tersebut bukan setakat
memenatkan, malah ianya sungguh memalukan dan akan menjadi bahan
ejekan rakan - rakan.
Pada pagi hari tersebut, Osman telah pergi kesekolahnya dalam keadaan
yang kurang ceria. Tetapi, keadaan kurang ceria tersebut dengan tiba
- tiba bertukar menjadi cemas pula apabila perkara pertama yang
dilihatnya, ialah setiap murid di kelasnya (kecuali Osman sendiri)
telah membawa bersama mereka sebatang buloh yang panjangnya lebih
kurang dua meter.
"Cissss, aku lupa bawa batang bulohlah, betul - betul aku lupa, alamat
matilah aku kena marah dengan cikgu Hanif" kata Osman kepada rakannya
Aziz.
"Amboi, berani kau lupa pesan cikgu Hanif ya?" kata Aziz kembali.
"Aku sungguh - sungguh dah lupa ni" balas Osman.
Setiap murid dikehendaki membawa sebatang buloh seorang, untuk projek
menanam pokok kacang panjang dikebun sayur sekolah tersebut. Projek
menanam pokok - pokok sayuran adalah ilham dari cikgu Hanif sendiri.
Ianya bertujuan untuk mengujudkan suatu aktiviti riadah yang secara
langsungnya dapat memupuk semangat tolong - menolong sesama murid,
disamping dapat menggalakkan murid - muridnya memakan sayur - sayuran
hasil daripada usaha tangan mereka sendiri.
Maka kelaspun bermulalah pada pagi itu. Perkara pertama yang disuruh
oleh cikgu Hanif ialah supaya setiap murid menyerahkan kepadanya
keseluruhan buloh - buloh yang mereka bawa. Kesemua murid telah
menyerahkan buloh masing - masing kecuali Osman.
"Osman, mana buloh yang kamu bawa?" tanya cikgu Hanif.
"Errr, saya, saya lupa nak bawa cikgu" jawab Osman dalam keadaan
ketakutan.
"Kamu lupa! Hmmm, baiklah, disebabkan hanya kamu seorang sahaja yang
lupa, lagipun kita masih lagi menyambut hari raya, maka saya beri
kemaafan untuk kamu buat kali ini, tetapi ingat, esok kamu mesti bawa
buloh, faham?" kata cikgu Hanif kepada Osman dengan tegas.
"Baik cikgu" balas Osman.
Selepas kelas tamat pada hari tersebut, Osmanpun pulanglah kerumahnya
seperti biasa. Osman membuat perancangan untuk mencari pokok buloh
dipersekitaran kampungnya pada sebelah petangnya, selepas beliau
menunaikan solat zohor dan juga selepas sarapan tengahari nanti.
Tetapi malangnya bagi Osman, beliau terus lupa untuk menunaikan
usahanya pada sebelah petang tersebut kerana sebok bermain dengan
kawannya dan menonton rancangan tv "ultraman", sebuah rancangan yang
sangat diminatinya.
Pada keesokan harinya, Osman terus kesekolah, seolah - olah tiada apa-
apa yang berlaku pada hari sebelumnya. Seperti biasa, semua murid -
murid beratur diluar bilik darjah masing - masing dan mereka masuk
kedalam bilik darjah setelah kedengaran bunyi loceng sekolah yang
menandakan kelas pertama pada pagi tersebut akan bermula.
Semasa mereka masuk kedalam bilik darjah, rakannya Aziz yang duduk
disebelahnya terus menegurnya sambil bertanya : "Err Osman, mana dia
buloh yang kamu janjikan pada cikgu Hanif semalam?"
"Ya Allah! Aku betul - betul lupalah. Matilah aku, matilah aku kena
belasah dengan cikgu Hanif karang. Aku ingat aku nak balik rumah
sajalah, aku nak ponteng sekolah hari ini" jawab Osman dengan resah.
Belum sempat Osman dan Aziz menyambung perbualan, maka cikgu Hanifpun
telah melangkah masuk kedalam kelas.
"Osman, mana dia buloh yang awak janji nak bawa tu?" tanya cikgu Hanif
kepada Osman sambil meletakkan buku - bukunya di atas meja.
Osmanpun berdiri, kakinya mula menggeletar.
"Errr buloh, buloh tertinggal di ... di ... di ... rumah cik ... cik
... cikgu" jawab Osman dalam keadaan menggeletar ketakutan.
Ketika itu semua murid - murid senyum melihatkan telatah Osman.
Mereka semuanya kenal akan Osman, mereka semua tahu bahawa Osman suka
temberang, Osman suka cakap kosong. Mereka semuanya tahu bahawa Osman
telah berbohong untuk melepaskan dirinya daripada didenda oleh cikgu
Hanif. Sesungguhnya denda itu suatu penyiksaan zahir dan batin.
"Awak jangan menipu, mari sini!" kata cikgu Hanif yang kelihatan
marah.
"Habislah engkau Osman, habisss" bisik Aziz kepada Osman sambil
menggelengkan kepalanya, cuba menyakat Osman yang jelas ketakutan.
"Aziz! Apa yang awak bisikkan kepada Osman!" tengking cikgu Hanif.
Azizpun berdiri.
"Saya kata bersabarlah Osman, terimalah segalanya dengan tenang".
Pada ketika itu, satu kelas ketawa terbahak - bahak.
"Awakpun sama dengan Osman, awakpun cuba nak temberang pada saya ya!"
kata cikgu Hanif.
Aziz hanya mampu berdiam sahaja. Tidak sanggup membalas kata - kata
cikgu Hanif kerana ia bakal mengundang bala. Sekarangpun mungkin bala
akan datang, Aziz tak mahu tambah bala lagi.
"Awakpun mari kesini!" kata cikgu Hanif kepada Aziz.
Pada waktu itu, confirm dalam hati Aziz bahawa bala dah sampai. Maka
Osman dan Azizpun menghampiri cikgu Hanif.
"Aziz, disebabkan awak tak pandai nak menjaga lidah awak kerana awak
suka berbohong, awak suka menyakat Osman, maka saya hendak awak
berdiri disebelah papan hitam, awak menghadap kelas dan awak julurkan
lidah awak sampai kelas tamat, faham!" kata cikgu Hanif kepada Aziz.
"Faham cikgu" kata Aziz yang penuh kesal bercampur hairan.
Aziz kesal kerana perbuatannya mengejek Osman sebentar tadi tetapi
agak hairan kerana yang buat salah besar adalah Osman, kenapa dia
pulak yang didenda dahulu. Hendak tak hendak, Azizpun terus
melaksanakan dendanya.
"Dan awak pulak Osman, sebenarnya denda ini adalah untuk awak, tetapi
disebabkan Aziz telah mengejek awak dan kemudiannya telah berbohong
kepada saya, maka Aziz telah menggantikan tempat awak" kata cikgu
Hanif yang kesal dengan perbuatan Aziz, dan mahukan Aziz untuk tidak
mahu menyakat kawan - kawannya lagi.
"Besok kalau awak tak bawa buloh, saya akan kenakan denda yang lebih
berat lagi daripada apa yang Aziz terima hari ini, faham tak!".
"Faham cikgu, terima kasih cikgu" jawab Osman dengan lega.
Aziz hanya mampu menjeling Osman tetapi Aziz tidak mampu berkata apa -
apa kerana lidahnya sentiasa terjulur keluar. Telinganya pula telah
bertukar warna, daripada hitam manis menjadi kemerah - merahan kerana
marahkan Osman, marahkan cikgu Hanif dan marahkan seluruh kelas yang
tersengih melihatnya. Lidahnyapun sudah mula kering kerana sentiasa
berada diluar mulut.
Ini merupakan suatu jenis denda yang baru, yang belum lagi ada murid -
murid yang kena denda macam ini. Aziz telah menjadi murid pertama
yang melaluinya. Kelak pasti ramai yang akan meminta kepada Aziz
untuk menceritakan pengalamannya menjulurkan lidah selama sejam. Itu
yang Aziz tak sanggup nak berhadapan dengan rakan - rakannya kelak.
Locengpun berbunyi, dan kelaspun tamat.
"Awak boleh simpan balik lidah awak tu dan awak boleh duduk. Lain
kali, awak jaga sikit apa yang akan diucapkan, jangan suka menyakat"
kata cikgu Hanif kepada Aziz.
"Terima kasih cikgu" jawab Aziz.
Cikgu Hanifpun keluar daripada bilik darjah. Apabila cikgu Hanif
telah berada jauh daripada bilik darjah maka murid - muridpun ketawa
terbahak - bahak. Cuma yang tidak ketawa ialah Osman. Osman sedih
kerana Aziz didenda sebegitu rupa walaupun Osman yang buat salah.
"Kau jangan ambik hati sangat Aziz, alah tak ada apa - apa lah,
perkara kecil sahaja" kata Osman kepada Aziz.
"Diamlah, aku taknak cakap dengan engkau lagi" jawab Aziz kembali,
jelas kelihatan Aziz sedang merajuk.
Osman tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Lalu Osmanpun mendiamkan
diri sahaja.
Selepas kelas tamat pada hari tersebut, Osmanpun pulanglah kerumahnya
seperti biasa. Seperti semalam, Osman telah membuat perancangan untuk
mencari pokok buloh dipersekitaran kampungnya pada sebelah petangnya.
Tetapi malangnya bagi Osman, hari ini pakciknya sekeluarga pula telah
datang untuk menziarahi keluarga Osman. Osman tidak dibenarkan
bapanya keluar selagi tetamu belum lagi balik. Osman duduk di rumah
untuk melayan tetamunya, yaitu keluarga pakciknya. Osman langsung
tidak berkata apa - apa. Yang Osman ingat waktu itu hanyalah tiga
perkara yaitu buloh, cikgu Hanif dan juga denda cikgu Hanif.
Keluarga pakcik Osman telah pulang selepas waktu asar. Osmanpun
segera keluar untuk mencari pokok buloh. Habis satu kampung Osman
merayau untuk mencari pokok buloh tetapi tidak jumpa - jumpa. Osman
balik dengan keadaan hampa. Osman rasa sudah sampailah masanya dia
mengadu kepada bapanya pada malam tersebut mengenai masalah yang
sangat berat yang dihadapinya itu. Tiba - tiba sebelum Osman
melangkah masuk kedalam rumahnya, Osman telah terlihat sesuatu
dibelakang rumahnya.
"Yahoo, Buloh! Buloh!" jerit Osman seorang diri.
Malam itu Osman tidak perlu mengadu nasib kepada bapanya. Malam itu
Osman dapat tidur lena. Keesokan harinya Osman kesekolah seperti
biasa. Rakan - rakannya hairan melihat Osman membawa suatu objek
panjang yang dibalut dengan kertas surat khabar. Azizpun turut sama
melihat tetapi Aziz tidak mahu berkata apa - apa kepada Osman kerana
Aziz masih marah pada Osman.
"Apa tu Osman" tanya salah seorang kawannya.
"Apa lagi, bulohlah" jawab Osman dengan penuh bangga.
Locengpun berbunyi dan seperti biasa semua murid telah memasuki kelas
masing - masing. Tak lama kemudian cikgu Hanifpun masuk. Belum
sempat apa - apa lagi cikgu Hanif memandang kearah Osman.
"Mana dia buloh awak Osman" tanya cikgu Hanif.
Osmanpun melangkah kehadapan dengan girang sekali. Objek yang
dibaluti dengan kertas surat khabar diserahkan kepada cikgu Hanif.
Cikgu Hanifpun membuka balutan kertas surat khabar tersebut. Cikgu
Hanif termenung sebentar sambil menggarukan kepalanya. Cikgu Hanif
bingung. Cikgu Hanif memandang kearah Osman. Satu kelas memandang
kearah Osman. Mereka semua fikir Osman pasti akan didenda kali ini.
"Yelaaah" kata cikgu Hanif sambil menarik nafas panjang.
"Saya cuma kata buloh, buloh bekas buat lemangpun tetap buloh juga,
betul tak? Patutlah awak balut dengan kertas surat khabar, sebab
bulohnya masih berminyak. Tapi isi lemangnya mana Osman?" tanya cikgu
Hanif sambil tersenyum.
"Lemang dah habis kena makan dengan rendang kerang cikgu" jawab Osman.
Ketika itu semua murid ketawa. Cikgu Hanifpun ketawa, Aziz pun
ketawa.
"Baiklah, awak boleh duduk. Tapi ingat Osman, tahun hadapan, kalau
awak nak bawa juga buloh lemang, pastikan buloh tersebut berisi dengan
lemangnya, boleh kita makan sama - sama" kata cikgu Hanif bergurau
sambil meletakkan buloh yang Osman bawa di atas meja.
"Baik cikgu" jawab Osman kembali.
Begitulah sedikit daripada sebuah kisah zaman persekolahan yang lalu.
Kebanyakan cikgu waktu itu garang - garang, tetapi mereka mempunyai
azam yang kuat, mereka mempunyai azam supaya murid - murid mereka
semuanya berjaya di dalam hidup, supaya mereka menjadi sebahagian
daripada masyarakat yang berguna. Wang ringgit bukanlah menjadi
pengukurnya, tetapi budi pekerti yang tinggi, sikap suka bertolak
ansur dan suka tolong - menolong adalah di antara nilai yang cuba
diterapkan guru di dalam minda murid - murid.
Murid - murid yang berada di dalam kelas Osman pada hari ini mungkin
ada yang dah jadi jurutera, dah jadi akauntan, dah jadi cikgu, dah
jadi arkitek, dah jadi doktor, dah jadi peguam, dah jadi ahli korporat
dsb. Tetapi mereka masih lagi ingat akan asal usul mereka, asal -
usul daripada kampung - kampung dan daripada keluarga yang serba
kekurangan. Dan mereka juga pernah bergotong - royong, mengotorkan
tangan - tangan mereka dengan tanah dan lumpur, untuk menanam sayur di
kebun sekolah mereka, dan yang pernah beramai - ramai datang kesekolah
dengan masing - masing membawa sebatang buloh, demi untuk menjayakan
projek kebun cikgu Hanif.

TAMAT

hakcipta terpelihara
CTAkashah

Saturday, May 20, 2006

Puisi: Mengambang Bulan Janji



Sebelum mengambang bulan janji
seorang isteri mencanting senja impian
moga dapat menyimbah jingga kesetiaan
pada gumpalan mega rumah tangga
sementara sinar mentari harapan masih bersisa
di horozon langit kehidupan.

Saat bulan janji mengambang
seorang suami mencari taburan bintang keindahan
untuk menghiasi langit cinta isteri
dan menyangkut di ranting sayang zuriat
bimbang kiranya purnama kasih silu
berlindung di sebalik mendung walang.

Setelah bulan janji mengambang
dinihari kesengsaraan mmengharu-biru, bercempera
embun kecurangan menitis meracun alam rumah tangga
melekat di hujung hamparan rerumput dosa
rakus perempuan matang mengejar rerama mula belajar terbang
serakah ayah memijak lumat hari depan warisan.

KARYA: HALISA
Teratak Persinggahan, Perlis.
11 Mei 2004.

SELAMAT BERKARYA!

Aktor Malaysia lahir dari group yahoo AKTOR yang kini sudah mempunyai ahli seramai lebih empat ratus (400) orang. Semua karya ahli akan dimuatkan di sini! Emailkan karya anda melalui laman AKTOR http://groups.yahoo.com/group/aktor .Selamat mendaftar sebagai rakan AKTOR dan selamat berkarya!


View My Stats